MB LEPASKAN JAWATAN PRESIDEN SIGC

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Isnin, 25 Mac 2019 

1/3

SEREMBAN: "Insya-Allah dalam masa terdekat, saya akan tulis surat (peletakan jawatan). Tapi pada dasarnya, saya dah (pun) meletakkan jawatan (sebagai Presiden SIGC)," ujar Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.

Demikian respons beliau ketika diminta mengulas berhubung keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) pada Ahad lepas, untuk menjual arak di premis berkenaan.

"Sebenarnya macam ini, dalam perlembagaan (SIGC) meletakkan dia (pihak pengurusan) boleh menjual arak. Dalam perlembagaan (SIGC) juga meletakkan saya sebagai Presiden.

"Tapi saya akan letak jawatan, (kerana) kita menghormati keputusan dia (pihak jawatankuasa SIGC). Saya belum sempat nak tulis (surat peletakan jawatan) saja, hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pelancaran dan Pemakaian Pangkat Briged Sukarelawan Skuad 69 bagi Negeri Sembilan di Balai Raya Taman Desa Rhu, Sikamat, di sini.

EGM SIGC yang berlangsung pada 24 Mac lalu, telah memutuskan untuk menarik balik larangan penjualan minuman keras di kelab golf berkenaan.

Difahamkan seramai 135 ahli berbayar menghadiri mesyuarat tersebut dan menolak keputusan jawatankuasa pengurusan yang dibuat pada 20 Ogos tahun lepas.

Untuk rekod, Aminuddin sebelum ini menegaskan bahawa beliau bersedia melepaskan jawatan Presiden SIGC sekiranya EGM memutuskan untuk menjual semula minuman keras.