PASUKAN TINDAKAN KECEMASAN KOMUNITI DI SETIAP DUN

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Ahad, 24 Mac 2019 

1/4

SEREMBAN: Negeri Sembilan diberi penghormatan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebagai negeri pertama yang bakal menubuhkan Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun).

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata sebagai permulaan, penubuhan awal akan dilaksanakan di Dun Sikamat dalam masa terdekat dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 40 keanggotaan.

Menurutnya, perbincangan dengan pihak APM telah pun dibuat pada bulan lepas membabitkan pelbagai aspek antaranya latihan yang bakal diberikan kepada anggota.

"Ini penting bagi kita kerana seperti sedia maklum, Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) merupakan orang paling rapat dengan komuniti.

"Mereka juga sepatutnya jadi individu yang pertama untuk ambil tindakan (apabila berlaku sesuatu bencana), di samping sokongan daripada peringkat negeri dan daerah.

"Jika ini dapat dilaksanakan, kita yakin bahawa komuniti atau sukarelawan APM di peringkat Dun akan dapat bertindak lebih pantas (dalam operasi penyelamatan awal). 

"(Tambah lagi) mereka turut mengetahui permasalahan kawasan sekitar. Ini akan memberi kelebihan untuk mereka menjalankan perkhidmatan kepada masyarakat," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun APM Ke-67 Tahun 2019 di Pusat Pertahanan Awam Negeri Sembilan, Seremban, di sini.

Perasmian sambutan ulang tahun berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Undang Luak Sungai Ujong, Dato' Klana Petra, Dato' Haji Mubarak Dohak.