HAD UMUR BELIA: RELEVAN DEMI MASA DEPAN NEGARA

Khamis, 25 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

1/1

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menerima baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang mengubah had umur belia.

Perubahan itu menyaksikan penetapan usia golongan berkenaan kini daripada 15 tahun hingga 30 tahun, berbanding had umur 40 tahun sebelum ini.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, tujuannya bagi meningkatkan kemampanan kepimpinan masa depan negara melalui golongan belia.

"Kita nak kurangkan jurang generasi, cepatkan proses kematangan remaja dan kurangkan risiko tingkah laku.

"Pada masa sama, wujudkan banyak peluang untuk pertubuhan belia pegang jawatan sebagai ketua," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Dalam pada itu, kata Aminuddin, didapati ada juga pertubuhan belia yang mahu had umur 40 tahun, dikekalkan.

Bagaimanapun tegasnya, Kerajaan Negeri akan berpegang kepada keputusan yang telah ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

"(Pindaan) ini dibuat untuk tingkatkan kemahiran kepimpinan serta perkasakan pemegang jawatan dengan tanggungjawab yang relevan," katanya.

Pada 3 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) 688 Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, iaitu menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.