TUANKU MUHRIZ PERKENAN RASMI SIDANG DUN

Isnin      24 September 2018       

24 sep 1-1.jpg
24 sep 1-2.jpg
24 sep 1-3.jpg
24 sep 1-4.jpg
24 sep 1-5.jpg

SEREMBAN: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengingatkan pemimpin negeri, wakil rakyat dan kakitangan awam supaya tidak menyalahguna kuasa dan melakukan penyelewengan.

Baginda bertitah, mereka perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dan akauntabiliti.

"Akhir-akhir ini rakyat Malaysia didedahkan dengan berita mengenai salah guna kuasa dan penyelewengan yang boleh memusnahkan negara.

“Penyelewengan ini berlaku sekian lama tanpa tindakan berkesan. Beta menyeru agar perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi sampai bila-bila.


"Semua wakil rakyat, agensi penguatkuasa dan kakitangan awam hendaklah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan akauntabiliti tanpa ada agenda kepentingan peribadi,” titah baginda pada istiadat pembukaan perasmian persidangan kedua penggal

pertama Dun yang ke-14.

Baginda yang diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud tiba di pekarangan bangunan Wisma Negeri, disambut Yang Dipertua DUN, Zulkefly Mohamad Omar, Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik.

Tuanku sebelum itu, berkenan membuat pemeriksaan barisan kawad kehormat diraja.

Turut hadir, Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Mengenai prestasi ekonomi dan kewangan negeri, Tuanku Muhriz menzahirkan rasa sukacita apabila kerajaan negeri berjaya mencatatkan lebihan dalam prestasi kewangan tahun 2017 berjumlah RM26.31 juta. Baginda mahu usaha membangunkan negeri ini perlu dilakukan dengan seimbang merangkumi kawasan bandar dan luar bandar.

"Tumpuan juga harus diberikan kepada pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi khususnya kemudahan internet berkelajuan tinggi kerana ia akan mendatangkan manfaat keilmuan serta manfaat ekonomi kepada rakyat.

“Bagi memajukan umat Islam pula, bidang pendidikan dan ekonomi mesti diberikan keutamaan. Kekuatan dalam dua bidang ini adalah benteng sebenar mempertahankan akidah dan maruah umat Islam," titah baginda.