SUMBANG RM50,000 UNTUK ALUMNI HUFFAZ NEGERI SEMBILAN

Khamis, 24 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/5

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyumbangkan sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Alumni Huffaz Negeri Sembilan. 

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu mereka merangka aktiviti bagi mewujudkan satu keseragaman yang baik kepada pusat tahfiz seluruh Negeri Sembilan.

"Kita lihat hari ini pusat tahfiz tumbuh seperti cendawan di Negeri Sembilan dan kita perlukan pelajar yang dah berjaya jadi huffaz, untuk sama-sama membantu memperkasakan institusi ini.

"Kita nak mula daripada malam ini. Mereka boleh panggil semua alumni untuk jalankan aktiviti mereka dan dapat disegerakan perkara ini.
 

"Harapan kita supaya mereka (alumni) dapat bantu generasi akan datang sebagai guru, bagi melahirkan huffaz yang terbaik, insya-Allah," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut menyumbangkan RM2.4 juta untuk disalurkan kepada pusat tahfiz seluruh Negeri Sembilan.

"Ini merupakan satu sumbangan yang besar dan kita yakin boleh semarakkan lagi (semangat) pelajar kita untuk mendalami ilmu Al-Quran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Persidangan Pengetua-Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Peringkat Kebangsaan Kali Ke-37 di Klana Resort, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Ketua Pengarah JAKIM, YBhg Dato' Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sohibus Samahah Dato' Haji Mohd Yusof Haji Ahmad dan Pegawai Kewangan Negeri, YB Tuan Mohd Khidir Majid.