224 GRADUAN KELAHIRAN KAYNS

Sabtu, 24 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Muhammad Faiz Limat & Nabilsyafiq MH

Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/3

SEREMBAN: Seramai 224 graduan berjaya menamatkan pengajian di tiga buah institut di bawah Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS).

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, ianya melibatkan Institut Teknologi Yayasan Negeri Sembilan (ITYNS), Institut Perhotelan dan Pelancongan Negeri Sembilan (IPPNS) serta Institut Pengurusan Dan Perindustrian Yayasan Negeri Sembilan (IPPYNS). 

"Wujudnya institusi latihan yang menawarkan kursus kemahiran seperti di KAYNS ini, adalah sejajar dengan usaha kerajaan ke arah melahirkan sumber daya insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing. 

"Program latihan yang ada (di KAYNS) termasuk dalam sistem vokasional negara yang dijenamakan sebagai Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya. 

Menurutnya, pelaksanaan sistem TVET yang proaktif dapat memenuhi keperluan industri pada masa kini dan masa depan. 

"Saya mahu lihat KAYNS sediakan program dan kurikulum yang bersifat futuristik, bersesuaian dengan era RI 4.0 malah bersedia hadapi era RI 5.0 pada masa depan.

"Dengan cara ini, mereka (penuntut) dapat dibangunkan dari aspek pembangunan sahsiah; daya fikir dan kemahiran kerja agar potensi kecemerlangan dapat dicapai secara optimum.
 

"Diharapkan dengan perancangan ini, golongan belia ini berupaya beri sumbangan kepada kesejahteraan diri; keluarga; masyarakat dan negara secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut mengalu-alukan penglibatan syarikat swasta yang berkaitan dengan memberi kerjasama dari segi penawaran pekerjaan; penempatan latihan industri; khidmat nasihat dan sebagainya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan kali ke-8 di Klana Resort, di sini, tempoh hari.