USAH GUNA NAMA PEMIMPIN PH UNTUK MAJLIS TANPA PERSETUJUAN

Oleh: Mohd Amin Jalil          Sabtu, 24 November 2018 

SEREMBAN: Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun kesal dengan tindakan segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan menggunakan nama pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri, termasuk beliau sendiri untuk tujuan majlis tertentu.

Sehubungan itu, beliau menggesa tindakan berkenaan dihentikan bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh menjejaskan imej pemimpin dan pentadbiran kerajaan negeri.

"Saya minta pihak tertentu supaya lebih bertanggungjawab dan tidak ambil kesempatan dengan menyalahgunakan gambar pemimpin PH, termasuk saya sendiri untuk menarik kehadiran orang ramai dalam program yang mereka anjurkan.

“Ada program yang saya sendiri tidak tahu dan tidak memberi persetujuan untuk hadir, tapi penganjur letakkan gambar saya pada poster seolah-olah saya akan hadir.

"Apabila keadaan itu berlaku, terutama pada program yang bersifat sensitif dan tidak dibincangkan lebih awal, ianya akan memberi gambaran tidak baik kepada pentadbiran,” katanya pada sidang media selepas majlis Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Sikamat 2018, di dewan terbuka sekolah itu, di sini, hari ini.

Semalam, gambar atur cara program anjuran sebuah organisasi membabitkan wakil pelbagai agama berkongsi pentas untuk membaca doa, menjadi tular kerana memaparkan nama Menteri Besar sebagai salah seorang tetamu.

Aminuddin berharap perkara seperti itu tidak berulang demi untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan bersama.

Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk Malaysia tidak meratifikasi ICERD sebagai tepat.

“Sejak dari awal, memang tiada isu. Perlembagaan negara sudah menyatakan dengan jelas hak orang Melayu, kedudukan Bahasa Melayu dan juga Islam yang harus dilindungi, seperti dipersetujui semua pihak ketika awal penubuhan Malaysia,” katanya.

24 nov 6-1.jpg