LAHIRKAN GENERASI MUDA DUNIA AKHIRAT

Oleh: Mohd Amin Jalil          Sabtu, 24 November 2018 

SEREMBAN: Penguasaan ilmu sangat penting bagi generasi baharu untuk membolehkan mereka mampu memberikan sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat serta negara pada masa depan.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, sesuai dengan status mereka sebagai pewaris terhadap kepemimpinan negara di masa depan, generasi baharu perlu diberikan bimbingan yang seimbang antara tuntutan rohani dan jasmani.

Katanya, tanpa keseimbangan dari segi pendidikan, golongan muda ini pasti sukar untuk mengharungi arus kehidupan yang serba mencabar.


"Murid bukan sahaja perlu dididik dari sudut pencapaian

akademik sahaja, tetapi harus diterapkan dengan nilai adab yang baik dan jati diri yang teguh.

"Justeru, semua pihak termasuk ibu bapa patut memberi sokongan padu pada pihak sekolah jika ingin melihat anak-anak mereka mencapai kecemerlangan dunia akhirat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Sikamat 2018, di dewan terbuka sekolah itu, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah isteri beliau, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pkharuddin Ghazali.

Aminuddin berkata, perubahan zaman dan cabaran arus semasa menuntut ibu bapa supaya bertindak sebagai pendorong kepada anak-anak untuk belajar secara berterusan bukan sahaja di sekolah, tetapi juga di rumah.

Menurutnya, ibu bapa juga perlu peka dengan keperluan anak mereka bagi menghadapi cabaran masa kini dan memastikan haluan mereka tidak tersasar.

"Oleh itu, kemahiran keibubapaan atau “skill of parenting” amat penting sebagai nilai tambah dalam mendidik anak-anak," katanya.

Menteri Besar turut menyampaikan pelbagai anugerah termasuk tokoh murid, selain sumbangan kewangan kepada sekolah berkenaan.

24 nov 5-1.jpg