KOMITMEN GURU DAN PIBG PACU KECEMERLANGAN

Oleh: Mohd Amin Jalil          Sabtu, 24 November 2018 

SEREMBAN: Komitmen guru dan sokongan padu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjadi elemen penting dalam memacu pencapaian murid serta kecemerlangan sekolah.

 

Justeru Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berharap agar guru dan PIBG dapat memainkan peranan dalam memastikan generasi baharu berpeluang menerima pendidikan sempurna dan seimbang.

 

"Kita sedar, guru menggalas tugas yang amat berat dalam menghadapi cabaran melahirkan generasi pelajar berkualiti dan ia tidak harus dipikul oleh pihak sekolah semata-mata tetapi perlu dijayakan oleh golongan ibu bapa juga.


"Namun saya yakin, guru di sekolah ini dapat

melaksanakan tugas dan tanggungjawab itu kerana dipimpin oleh guru besar yang baru dan sokongan padu PIBG yang sentiasa proaktif memberikan pendidikan seimbang kepada murid.

 

"Saya percaya menerusi kerjasama dan komitmen tinggi antara guru dan PIBG, matlamat kita untuk memastikan kecemerlangan murid di dunia dan akhirat akan tercapai, insya-Allah," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada majlis Jamuan Makan Malam SK Senawang 3, di dataran sekolah itu, malam tadi.

 

Hadir sama adalah isteri beliau, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pkharuddin Haji Ghazali.

 

Aminuddin berharap perpaduan dalam kalangan masyarakat dan warga sekolah berkonsepkan muafakat dapat terus dihayati serta disemarakkan bagi menjamin kejayaan sekolah dan kesejahteraan bersama.

 

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada guru dan warga sekolah berkenaan yang sentiasa komited untuk melahirkan generasi baharu yang cemerlang dalam akademik dan akhlak.

 

"Saya harap majlis ini dapat dijadikan sebagai suatu aspirasi untuk merapatkan ukhuwah kalangan kita dan bersama-sama ke arah menjana kejayaan sekolah," katanya.

 

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada sekolah dan kelab sekolah terbabit, termasuk bagi membantu seorang murid yang memerlukan rawatan.

24 nov 1-1.jpg