MENTERI BESAR ZIARAH MANGSA KEMALANGAN DI HTJS

Jumaat, 24 Mei 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Foto: Nabilsyafiq MH

1/5

SEREMBAN: Kemalangan menimpa pelajar Kolej Vokasional dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang di Jalan Pantai-Bukit Tangga, di sini, petang semalam, mendapat perhatian Kerajaan Negeri Sembilan.

Justeru seusai solat Jumaat, Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun telah menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada beberapa mangsa yang sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar, di sini.

Mangsa yang terlibat ditempatkan di Wad 5A, 2B dan 8B akibat pelbagai jenis kecederaan antaranya patah buku lali kiri, patah tulang belakang, kecederaan dalam perut dan kecederaan pada otak.

Bagaimanapun, 10 lagi mangsa sudah dibenarkan pulang manakala jenazah pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang, Muhammad Firdaus Syahrul Azam, 17, telah dibawa ke kampung halamannya untuk dikebumikan.

Aminuddin yang diiringi Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Dato' Haji Pkharuddin Ghazali turut menziarahi pelajar Tahun 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Rahang, Amir Nur Afiq yang ditimpa kemalangan di Gedong Lalang, Ampangan, juga berlaku petang semalam.

"Alhamdulillah, semua mangsa dalam keadaan stabil. Kaki pelajar SK Rahang yang putus juga berjaya disambung semula melalui pembedahan.

"Kita doakan semoga mereka semua cepat sembuh," ujar Aminuddin secara ringkas ketika ditemui pemberita di hospital berkenaan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar mengambil iktibar daripada insiden kemalangan yang menimpa pelajar SK Rahang.

"Kejadian itu harus dijadikan iktibar bagi semua pemandu, supaya tak memandu terlalu laju terutama berhampiran kawasan sekolah dan perumahan.

"Kena beringat sebab bila dah berlaku, amat menyedihkan dan mengerikan. Harapnya kejadian sebegini tak berulang lagi," katanya.

Beliau juga menaruh harapan agar masyarakat di Negeri Sembilan dapat menggunakan kenderaan dengan lebih tenang, sabar dan bertanggungjawab.

"Memang mereka mengejar waktu, tapi perlu pastikan masa diurus dengan baik supaya tak tergesa-gesa," katanya.