LIMA DAERAH TERLIBAT BANCI PERCUBAAN 2019

Rabu, 24 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/7

SEREMBAN: Sebanyak lima daerah di Negeri Sembilan dipilih mengikuti Banci Percubaan 2019 mulai 24 Julai hingga 7 Ogos depan. 

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, program berkenaan melibatkan daerah Seremban; Port Dickson; Jelebu; Jempol dan Tampin.

Menurutnya, langkah itu diambil untuk menguji keseluruhan operasi banci dan sistem pembancian yang telah dibangunkan bagi melancarkan pelaksanaan Banci 2020.

Selain itu kata beliau, ia juga bertujuan untuk menguji pelaksanaan Malaysia Intergrated Population Census System (MyIPCS) yang menjadikan pengeluaran statistik lebih jitu. 
 

"(Antara) maklumat banci berkaitan kesihatan, pertanian, perumahan dan sebagainya. 

"(Statistik) ini diperlukan bagi merealisasikan arah tuju polisi Negeri Sembilan.

"Saya menyeru semua agensi di bawah Kerajaan Negeri agar bekerjasama, memastikan penyusunan statistik lebih sistematik demi kesejahteraan setiap segmen masyarakat," katanya.

Menurutnya, program dan perancangan pembangunan ekonomi negeri ini dapat diukur dan dinilai melalui statistik rasmi yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia. 

"Ini (banci) juga penting untuk pupuk kesedaran, pendedahan dan kefahaman kepada rakyat Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Seminar Kependudukan Negeri Sembilan 2019 anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia di Klana Resort, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Perangkawan Malaysia, YB Dato' Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato' Dr Razali Ab Malik.