BALU, BAPA TERIMA SUMBANGAN RM5,000

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Khamis, 24 Januari 2019 

PORT DICKSON: Balu kepada Pegawai Bomba, Allahyarham Adnan Othman iaitu Shahmiza Salleh, 33, menerima sumbangan sebanyak RM5,000 daripada Kerajaan Negeri Sembilan.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun pada Majlis Penyerahan Sumbangan Wira Merah di Taman Jaya, Lukut, di sini. 

Selain Shahmiza, bapa Allahyarham Adnan iaitu Othman Surathi, 70, turut menerima sumbangan dalam jumlah yang sama.

Menurut Aminuddin, sepatutnya sumbangan tersebut disempurnakan pada Oktober tahun lepas.
 

"Kita memang nak sampaikan (masa itu), cuma waktu itu tak sesuai sebab Pilihan Raya Kecil (Port Dickson) sedang berlangsung.

"Jadi, hari ini ada kesempatan untuk kita sampaikan sumbangan. Walaupun agak lewat, kita harap dapat ringankan beban keluarga ini," katanya.

Sebelum itu, majlis tahlil dan doa selamat telah diadakan di kediaman bapa Allahyarham.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Dr Razali Ab Malik serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Tuan Norazam Khamis.

Allahyarham Adnan Othman merupakan salah seorang daripada enam anggota bomba yang lemas ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat di Lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor pada Oktober tahun lalu.

1/5