TUANKU TANYA KEADAAN POLITIK SEMASA: MB NEGERI SEMBILAN
Isnin, 24 Februari 2020
Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
SEREMBAN: "Tuanku bertanyakan tentang keadaan politik semasa. Itu saja," ujar Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.
Demikian jawapan beliau ketika ditemui pemberita dalam kenderaan dinaiki semasa berada di luar pagar Istana Hinggap, di sini, hari ini.
Sebelum itu, Aminuddin telah meluangkan masa lebih kurang setengah jam mengadap Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Kelibat beliau dilihat memasuki pekarangan Istana Hinggap sekitar jam 10.25 pagi dan keluar kira-kira jam 11 pagi.
Ditanya mengenai situasi semasa di Negeri Sembilan pula, Aminuddin menjelaskan bahawa negeri ini dalam keadaan baik.
"(Keadaan) okey, insya-Allah. Doalah, insya-Allah Negeri Sembilan okey," katanya secara ringkas.
Beliau juga berkata, akan membuat makluman sekiranya ada perjumpaan bersama semua ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di peringkat Negeri Sembilan.
"Kita akan maklum (kemudian) ya, insya-Allah," katanya sebelum bergerak meninggalkan lokasi berkenaan.
Daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan, 20 daripadanya milik Pakatan Harapan iaitu 11 DAP; enam PKR dan tiga Amanah.
BN pula memiliki selebihnya iaitu Umno dengan 15 kerusi DUN, manakala MIC pula satu kerusi DUN.