TIADA CADANGAN KURANGKAN PENJAWAT AWAM

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Rabu, 24 April 2019 

SEREMBAN : Kerajaan Negeri Sembilan sama sekali tidak berhasrat untuk mengurangkan pengambilan kakitangan awam, buat masa ini.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun (PH-Sikamat) ketika menjawab soalan Dato' Ismail Lasim (BN-Juasseh).

Soalan diajukan adalah membabitkan jumlah penjawat awam negeri ini dan pendirian Kerajaan Negeri berhubung saiz penjawat awam.

"Buat masa ini, Kerajaan Negeri tak bercadang mengurangkan pengambilan kakitangan awam kerana masih mengguna pakai dasar ditetapkan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam).

1/2

"Dasarnya iaitu peratus pengisian tak melebihi 89 peratus daripada jumlah perjawatan dan ini selari dengan apa yang dikehendaki Kerajaan Persekutuan," katanya.

Mengulas bilangan penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri pula, kata Aminuddin, jumlahnya seramai 5,301 orang.

"Seramai 3,509 orang (bertugas) di Jabatan Negeri, 1,566 orang di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 226 orang di Badan-Badan Berkanun Negeri.

"Berdasarkan pecahan kaum, seramai 5,029 orang adalah penjawat awam dari kaum Melayu, 249 India, 10 Cina dan 13 orang lain-lain kaum," katanya.

Beliau berkata demikian pada hari kedua dalam Persidangan Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Ke-14 di Dewan Undangan Negeri, di sini.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri memandang serius isu pembinaan menara telekomunikasi secara tidak sah.

Menurutnya, sebanyak 276 menara telekomunikasi yang tidak berlesen telah dikenal pasti di negeri ini.

"Dalam perkara tersebut, pihak PBT sedang giat melaksanakan proses pemutihan serta (pihak terlibat) diberikan peluang untuk memohon lesen secara sah.

"Ini bagi memastikan pembinaan menara telekomunikasi dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan semasa yang berkuat kuasa," katanya.

Tambahnya lagi, denda antara RM250 hingga RM79,800 akan dikenakan untuk setiap permohonan berdasarkan Undang-Undang Kecil PBT berkenaan bagi mana-mana menara telekomunikasi yang tidak mempunyai permit sah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan YB Ng Chin Tsai (PH-Temiang) mengenai menara telekomunikasi yang tidak mempunyai lesen.