CADANG WUJUDKAN ZON BEBAS CUKAI DI NEGERI SEMBILAN

Isnin, 23 September 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat & Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh & Nurul Haryani Hasrol

1/5

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memohon agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan zon bebas cukai dalam projek pembangunan Lembah Wawasan 2.0 (MVV 2.0).

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, kewujudan zon bebas cukai di kawasan itu dilihat mampu meningkatkan dan mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.

"Ini harus dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan. (Sebab) kita tak ada pelabuhan yang besar, kita (pun) tak ada lapangan terbang.

"(Apa) yang kita ada hanya tanah di tengah-tengah antara (negeri) Johor dan (kawasan) Lembah Klang.

"Kalau boleh, dipertimbangkan (cadangan untuk mewujudkan) kawasan bebas cukai bagi memesatkan lagi pembangunan di Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Kali Ke-20 di Klana Resort, di sini, semalam.

Sementara itu, Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, YB Tuan Lim Guan Eng berkata, pihaknya menyambut baik cadangan tersebut.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri Sembilan perlu mengemukakan permohonan secara rasmi kepada Kerajaan Pusat.

"Cadangan (mewujudkan) kawasan bebas cukai ini, kita akan pertimbangkan dengan serius," katanya ketika mengulas perkara berkenaan.

Pembangunan MVV 2.0 melibatkan kawasan berkeluasan 153,411 hektar yang merangkumi Nilai hingga Port Dickson.