KORIDOR EKOLOGI CFS LINDUNGI HABITAT HIDUPAN LIAR

Rabu, 23 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhamad Syawal Saleh

1/4

KUALA PILAH: Kerajaan Negeri Sembilan menubuhkan kawasan koridor ekologi Central Forest Spine (CFS) yang bertindak sebagai tulang belakang rangkaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) bagi menjamin kelestarian biodiversiti negara serta kepentingan habitat hidupan liar.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, projek CFS itu bertujuan memulihara hutan akibat aktiviti pembangunan infrastruktur seperti pembinaan lebuh raya dan penubuhan ladang yang menyebabkan fragmentasi hutan (pemisahan kawasan hutan).

"Fragmentasi hutan ini telah menyebabkan hidupan liar terpaksa keluar daripada kawasan rayau akibat pengecilan habitat dan kawasan keliarannya. 

"Kesan ini boleh dilihat melalui peningkatan konflik hidupan liar dengan manusia, yang mana kes ‘road kill’ melibatkan hidupan liar dan pengguna jalan raya semakin meningkat. 

"Bagi Negeri Sembilan, dua koridor ekologi yang dikenalpasti iaitu Secondary Linkages 6 (SL6) : Hutan Simpan Triang dan SL7 antara Hutan Simpan Angsi dan Hutan Simpan Berembun. 

"Pemilihan ini disebabkan kedua-dua kawasan hutan simpan (Angsi dan Berembun) terpisah oleh kewujudan jalan lama Bukit Putus dan Jalanraya Seremban - Kuala Pilah," katanya.

Menurutnya, Negeri Sembilan mempunyai keluasan Hutan Simpanan Kekal seluas 155, 549 hektar dengan 40 peratus daripadanya dikategorikan sebagai Hutan Perlindungan.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri komited dalam pengurusan hutan secara mampan dengan mengekalkan 23 peratus kawasan Hutan Simpanan Kekal daripada keluasan keseluruhan tanah Negeri Sembilan. 

"Dalam usaha ini juga, pembangunan dan pengurusan koridor ekologi CFS dipertingkatkan melalui penubuhan Jawatankuasa Kerja Teknikal Negeri Pelaksanaan Central Forest Spine (JKTNP-CFS) yang dipengerusikan oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Perhutanan Negeri sebagai agensi pelaksana.

"Sejajar dengan komitmen dalam pengurusan CFS, kita dah sediakan dan laksanakan Pelan Tindakan Koridor Ekologi CFS Negeri Sembilan pada tahun 2015, meliputi kawalan pengurusan guna tanah; penyediaan infrastruktur jalan; pengurusan hutan; pertanian mampan; eko-pelancongan dan kesedaran awam. 

"Sebarang aktiviti pembangunan dan permohonan pengusahasilan (pembalakan) dalam kawasan tersebut tak dibenarkan sama sekali. 

"Selain itu, kerja-kerja penanaman pokok-pokok nadir juga dilaksanakan setiap tahun di kawasan CFS bagi menjamin koridor ekologi ini terus jadi laluan dan kawasan keliaran hidupan liar serta kedapatan sumber makanan," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, operasi penguatkuasaan secara bersepadu turut dilaksanakan secara berkala bagi memantau aktiviti pencerobohan hutan; pemburu haram (poachers) dan pemasangan jerat haram yang dibina di sekitar kawasan CFS.

"Pemasangan camera trap di kawasan CFS ini juga dah berjaya merakamkan sebanyak 15 spesies hidupan liar mamalia antaranya seperti tapir; harimau kumbang; beruang matahari dan lain-lain.

"Kepelbagaian hidupan liar yang ada di kawasan ini menunjukkan biodiversiti dan eko-sistem hutan di Negeri Sembilan masih terpelihara serta berpotensi untuk dimajukan sebagai salah satu produk eko-pelancongan dan khazanah berharga negeri.

"Menerusi kewujudan rangkaian ekologi CFS ini, saya harap semua pihak akan lebih prihatin terhadap kemandirian (survival) hidupan liar di Negeri Sembilan supaya tak ada lagi pemburuan haram ke atas haiwan kecil mahupun besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Roadshow Central Forest Spine (CFS) Negeri Sembilan 2019 di Taman Eko-Rimba Ulu Bendul, di sini, tempoh hari.