19 LOKASI 'HOTSPOT ROADKILL' LIBATKAN HIDUPAN LIAR

Rabu, 23 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhamad Syawal Saleh

1/4

KUALA PILAH: Sebanyak 19 jalan di Negeri Sembilan dikesan sebagai lokasi 'hotspot roadkill' berikutan kerap berlaku kemalangan melibatkan hidupan liar melintas sejak 2015.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan merekodkan laluan Seremban – Kuala Pilah yang melintasi koridor CFS2 SL7 Hutan Simpan Angsi – Berembun sebagai lokasi 'hotspot roadkill' paling tinggi.

"Komuniti hidupan liar terutamanya tapir di lihat masih tinggi di Negeri Sembilan, yang mana sering kali jadi mangsa ‘road kill’ selain babi hutan; kambing gurun; harimau kumbang dan beruang.

"Pihak Jabatan Perhilitan dengan usahasama Jabatan Perhutanan dan Kerajaan Negeri Sembilan dah ambil langkah awal, (dengan) beri peringatan kepada pengguna jalan raya menerusi pemasangan papan tanda lintasan hidupan liar. 

"Terdapat lapan unit papan tanda lintasan hidupan liar dah dipasang, supaya pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan memperlahankan kenderaan. 

"(Selain itu), sebanyak empat jenut tiruan (garam tiruan) telah dibina bagi menarik perhatian hidupan liar melintas denai bawah jambatan (viaduct) untuk elak daripada melintas jalan raya dan merayau ke kawasan kampung berhampiran," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri merancang untuk menubuhkan Pusat Konservasi Tapir Kebangsaan di Hutan Simpan Kenaboi sebagai usaha memelihara hidupan liar seperti termaktub dalam Rancangan Struktur Negeri (RSN) 2045. 

"Pusat konservasi ini bertujuan untuk menyelamatkan spesies tapir yang kian terancam, serta jadikan tapir sebagai salah satu tarikan baru eko-pelancongan di Negeri Sembilan.
 
"Pusat ini akan ditubuhkan di Taman Negeri, Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu. 

"Seluas 200 ekar telah diperuntukkan bagi tujuan ini, di mana seluas 10 ekar untuk pembangunan kompleks pengurusan serta baki 190 ekar sebagai kawasan keliaran haiwan berkenaan," katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan Pengurusan CFS Negeri Sembilan mengikut Strategi Pelan Tindakan CFS Negeri Sembilan yang telah dipersetujui.

Tujuannya untuk membangunkan kawasan itu sebagai salah satu produk eko-pelancongan melalui aktiviti melihat burung dan tinjauan hidupan liar, menerusi menara pandang serta pendakian gunung dan menyusuri hutan (jungle trekking).

"Bagi menambah baik rangkaian ekologi CFS ini, satu aktiviti plogging atau pembersihan kawasan akan dilaksanakan dalam masa terdekat untuk pastikan kawasan keliaran hidupan liar dalam keadaan bersih dan selamat. 

"Penglibatan bersama komuniti setempat akan memberikan kesedaran kepada pemuliharaan hidupan liar dan keperluan mengurangkan pemburuan haram.   

"Saya harap dengan usaha mengadakan Roadshow CFS ini dapat menimbulkan lebih lagi rasa kesedaran dan prihatin masyarakat terhadap kewujudan hidupan liar, khususnya semasa menggunakan jalan raya di kawasan CFS," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Roadshow Central Forest Spine (CFS) Negeri Sembilan 2019 di Taman Eko-Rimba Ulu Bendul, di sini, tempoh hari.