PRESTASI CEMERLANG SMKBBS JADI KEBANGGAAN

Selasa         23 Oktober 2018          

23 oct 2-1.jpg

JEMPOL: Pelbagai kejayaan yang dicapai Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Serting (SMKBBS) dalam beberapa tahun kebelakangan ini harus dijadikan contoh oleh sekolah lain di negeri ini.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, walaupun berstatus sekolah harian biasa, namun pencapaian memberangsangkan yang ditunjukkan oleh pelajar dan guru sekolah itu amat dibanggakan dan wajar dicontohi.

Katanya, antara kejayaan yang dicapai sekolah itu ialah Sekolah Felda Terbaik Negeri Sembilan 2017, Anugerah Khas Pembestarian Sekolah, Anugerah Penggunaan Frog VLE Terbaik Sekolah Menengah, Anugerah Pusat Sumber Sekolah Terbaik, Anugerah Teknobestari Pendidikan Peringkat Negeri 2017 dan beberapa anugerah lain.

"Kejayaan yang dicapai itu sudah tentu hasil daripada keinginan yang tinggi dan membuktikan komitmen tinggi pelajar dan semua warga sekolah untuk memburu kejayaan.

"Pencapaian yang sangat memberangsangkan dicapai sekolah ini amatlah sesuai selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang mempunyai pemikiran kelas pertama.

"Sesungguhnya perjalanan untuk menimba ilmu tiada noktahnya kerana proses pembelajaran perlu dilakukan secara berterusan. Syabas saya ucapkan dan ia tidak harus berhenti setakat ini sebaliknya terus berusaha," katanya berucap merasmikan Majlis Graduasi SMKBBS di Dewan Bestari SMKBBS, petang tadi.

Hadir sama isteri beliau, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof dan Ahli EXCO, YB Teo Kok Seong.

Seramai 99 pelajar SMKBBS menerima sijil masing-masing pada majlis berkenaan.

Aminuddin berkata, selaras dengan aspirasi negara dan status pewaris kepada kepemimpinan negara di masa hadapan, generasi muda perlu terus berusaha dengan gigih untuk menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran.

"Kerajaan tidak mahu golongan rakyat yang memiliki pemikiran kelas ketiga ketika pelbagai kemudahan insfrastruktur yang disediakan berstatus kelas pertama.

"Justeru, ketrampilan pelajar dalam pelbagai disiplin ilmu adalah sangat diharapkan kerana tenaga kerja yang mahir dan kompeten merupakan aset penting bagi melestari dan menjayakan misi negara di masa hadapan," katanya.