BERI SOKONGAN SEMPENA TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2020

Jumaat, 23 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Muhammad Faiz Limat & Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/4

PORT DICKSON: Penggiat industri pelancongan Negeri Sembilan diseru agar memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri Sembilan dalam usaha menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2020 yang bakal berlangsung dalam beberapa bulan lagi.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, ini termasuk sokongan terhadap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Sembilan (MOTAC) serta Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan.

Menurutnya, kerjasama daripada semua pihak terlibat dapat melancarkan segala persiapan yang sedang dilaksanakan, di samping memastikan industri pelancongan terus berkembang dengan baik..

"Kita mahu pelancong datang kerana keunikan Negeri Sembilan itu sendiri, (kerana) kita mempunyai pantai: eko pelancongan; adat resam atau pun budaya yang cukup unik berbanding tempat-tempat lain.

"Kita harap industri pelancongan ini jadi satu industri cukup penting dan beri pulangan yang baik kepada rakyat, selain menjadi tempat pelancongan yang mendapat perhatian domestik mahu pun luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan  Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Sembilan di Lexis Hibiscus, di sini, semalam.

Justeru, Aminuddin menyeru semua penggiat industri pelancongan agar memanfaatkan sesi libat urus itu bagi mendapatkan maklumat berhubung insentif ditawarkan MOTAC dan agensi berkaitan, di samping mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.

"Kita sentiasa terbuka dan bersedia untuk menerima cadangan serta pandangan semua, agar Negeri Sembilan dapat menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2020," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa supaya mengambil pakej pelancongan yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri atau MOTAC.

"Kita tak ingin mereka pergi ke tempat-tempat yang tak ada pengiktirafan. (Contoh) mereka pergi sendiri yang Kerajaan Negeri pun tak tahu, (hinggakan) MOTAC pun tak tahu mereka hadir di sana.

"Akhirnya, (menyebabkan) terlibat dengan kemalangan yang (akan) beri sedikit imej buruk (kepada) Kerajaan Negeri itu sendiri.

"Sejak tahun lepas, Kerajaan Negeri dah maklumkan kepada pengusaha (resort) untuk mohon kebenaran dirikan bangunan-bangunan (resort) mengikut aspek yang dibenarkan serta ikut peraturan ditetapkan. 

"Kalau mereka (pengusaha resort) tidak patuh sehingga hujung bulan ini (31 Ogos), kita terpaksa ambil tindakan bagi memastikan industri ini berjalan dengan baik," katanya