NEGERI SEMBILAN CATAT PELABURAN RM2.2 BILION

Oleh: Mohd Amin Jalil          Jumaat, 23 November 2018 

PORT DICKSON: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berjaya merekodkan pelaburan bernilai RM2.2 bilion setakat September yang lalu.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, ini merupakan prestasi luar biasa selepas PH mengambil alih pemerintahan negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Mei lalu.

"Alhamdulillah, setakat hari ini nilai pelaburan di Negeri Sembilan sudah mencecah RM2.2 bilion. Inilah harapan kita dan harapan mereka yang berada di luar untuk melihat pembangunan Negeri Sembilan, insya-Allah akan lebih baik daripada kerajaan BN (Barisan Nasional) yang lepas.


"Saya rasa bahawa pelaburan RM2.2 bilion yang dicatatkan setakat September ini cukup tinggi dan kita

harap pada hujung Disember nanti, nilai pelaburan mampu mencecah sehingga RM2.5 bilion atau lebih, insya-Allah.

"Kita (PH) yakin mampu bangunkan negeri dan bela nasib rakyat negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, di Kampung Pachitan, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Anwar dan kepimpinan PH negeri dan pemimpin setempat.

Aminuddin yang juga Pengerusi PH negeri berkata, pelbagai insentif untuk golongan berpendapatan rendah (B40) bakal diumumkan pada pembentangan bajet di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Disember ini.

"Kerajaan PH akan cuba memastikan rakyat Negeri Sembilan mendapat pembelaan sepenuhnya dan pelbagai insentif akan diumumkan pada bajet negeri, 17 hingga 19 Disember ini. Inilah harapan kita dan janji kita," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar menggesa semua pihak terutama agensi kerajaan dan pihak yang berkaitan, supaya bekerjasama dalam mengatasi segala permasalahan rakyat termasuk isu banjir dan kawasan sekolah.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan supaya saya cepat sembuh," katanya.

23 nov 1-1.jpg