862.8 KILOGRAM MAKANAN TIDAK HABIS DIJUAL, DIKUMPUL DAN DIAGIHKAN

Khamis, 23 Mei 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

1/2

JEMPOL: SWCorp Negeri Sembilan berhasil mengumpulkan 862.8 kilogram makanan yang tidak habis dijual di Bazar Ramadhan Paroi dan Bandar Baru Nilai untuk diedarkan kepada golongan memerlukan.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, YB Teo Kok Seong berkata, angka tersebut bagi tempoh pengumpulan dari 13 hingga 17 Mei lalu.

Menurutnya, lebihan makanan masih berkeadaan elok yang dikumpulkan melalui kempen Hargai Makanan Elakkan Pembaziran itu turut disumbangkan kepada pihak masjid untuk tujuan moreh.

"Makanan yang dikumpul di Nilai diagihkan kepada masjid, manakala makanan di Bazar Ramadan Paroi pula diagihkan kepada (golongan) asnaf, ibu tunggal dan anak yatim," katanya.

Kok Seong berkata, kempen berkenaan merupakan kaedah terbaik untuk mengelakkan makanan yang tidak terjual dibuang begitu sahaja lantas menyebabkan pembaziran.

Tambahnya pada masa sama, peniaga juga berpeluang membuat amal jariah dengan membantu golongan susah.

"Berdasarkan laporan SWCorp, setiap individu akan mempunyai lebihan sebanyak 1.17 kilogram makanan pada setiap hari.

"Kebiasaannya pada musim perayaan, lebihan makanan itu akan bertambah antara 20 hingga 30 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di Bazar Ramadan Batu Kikir, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir adalah Pengarah SWCorp, Nordin Amat; Pegawai Daerah Jempol, Mas Midyawan Yahya dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol, YM Raja Norazli Raja Nordin.