BAS PERCUMA BANDAR SEREMBAN DILANCAR

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Sabtu, 23 Mac 2019 

1/5

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melancarkan perkhidmatan bas percuma dikenali sebagai Khidmat Rakyat NS dalam kawasan bandar Seremban, yang akan beroperasi mulai pagi ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, sebanyak dua buah bas disediakan dengan kerjasama Cityliner Sdn Bhd untuk mengambil penumpang seawal jam 5.45 pagi hingga 8.45 malam.

Menurutnya, inisiatif berkenaan menelan kos lebih kurang RM300,000 bagi tahun ini dan telah pun dibentangkan dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2019 pada Disember lalu. 

"Bas ini mesra OKU (orang kurang upaya) dan ada perkhidmatan untuk mereka yang guna kerusi roda. Ini memudahkan mereka untuk pergi ke hospital.

"Di samping itu, kita nak galakkan penggunaan pengangkutan awam. Tujuannya untuk memastikan bandar Seremban tak terlalu sesak," katanya.

Pada masa sama, katanya, kewujudan perkhidmatan tersebut memudahkan orang ramai untuk ke lokasi yang sering menjadi tumpuan.

"Contohnya seperti Hospital (Tuanku Ja'afar), Pasar Besar Seremban, Klinik Kesihatan Seremban, KTM Seremban dan Wisma Negeri.

"Kita mula di bandar Seremban dulu (perkhidmatan ini), untuk lihat keberkesanannya. Pelaksanaan fasa kedua bergantung pada keperluan, insya-Allah.

"Kita harap dapat digunakan oleh semua pihak, termasuk pelajar-pelajar sekolah. Ini akan membantu mengurangkan kos tanggungan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran perkhidmatan bas berkenaan di Terminal One, di sini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Dr Razali Ab Malik serta Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong.

Untuk makluman, laluan ditetapkan untuk bas percuma adalah KM Plaza; Tan Brothers; Klinik Pakar Kanak-Kanak; Pejabat Pos Seremban Utara; Pasar Besar Seremban; International College; KFC Temiang; Haji Shariff Cendol dan Perodua Showroom.

Kemudian laluan itu diteruskan ke Wisma Negeri; Padang MPS; KWSP Seremban; Petron Bukit Rasah; Hospital Tuanku Ja'afar; Klinik Kesihatan Seremban; Pangsapuri Prima dan KTM Seremban.