MASYARAKAT BERBILANG KAUM SEBAGAI TUNJANG KEHARMONIAN

Selasa, 23 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/6

SEREMBAN: Perpaduan merupakan satu wadah bagi merapatkan jurang antara kaum, demi memupuk semangat bersatu-padu dan memahami nilai keunikan sesuatu bangsa.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri memberi penekanan serius terhadap aspek perpaduan kaum di negeri ini.

"Masyarakat perlu komited sebagai tunjang keharmonian antara kaum, agar keamanan ini dapat dikecapi hingga ke generasi akan datang.

"Saya harap gabungan pertubuhan India Negeri Sembilan dapat bantu kerajaan untuk sebarkan maklumat tentang tawaran dan inisiatif disediakan kepada masyarakat India yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perpaduan Masyarakat Negeri Sembilan anjuran Majlis Gabungan Pertubuhan India Negeri Sembilan di City Kingdom, di sini, tempoh hari.

Menurutnya, integrasi kaum dilihat mampu memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan perasaan cintakan negara.

Turut hadir adalah Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, YB Puan Nicole Tan Lee Koon; ADUN Sri Tanjung, YB Tuan M Ravi serta ADUN Rahang, YB Puan Mary Josephine Prittam Singh.