SISWAZAH CEMERLANG ASET PEMBANGUNAN NEGERI SEMBILAN

Isnin, 22 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

1/4

SEREMBAN: Siswazah cemerlang kelahiran Negeri Sembilan merupakan aset penting dalam agenda pembangunan negeri ini.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri yakin pendidikan mampu mengubah negeri ini menjadi lebih dinamik pada masa akan datang.

"Saya cadang agar para penerima anugerah bersama-sama dengan Kerajaan Negeri untuk membangunkan negeri kita ini.

"Bagi yang kerja di luar (Negeri Sembilan), selalulah balik ke sini dan bantu sekolah-sekolah di tempat yang mereka pernah belajar dulu.

"Luangkan masa bantu Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dalam program pembangunan sumber daya insan, dengan cara jadi guru di pusat tuisyen yayasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Siswazah Anugerah Kelas Pertama Yayasan Negeri Sembilan di Klana Resort, di sini, semalam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sedang berusaha menggiatkan aktiviti ekonomi di Negeri Sembilan untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Pada majlis itu, seramai 155 siswazah kelahiran Negeri Sembilan yang mendapat anugerah kelas pertama, menerima wang tunai RM5,000 setiap seorang.

Aminuddin berkata, beliau difahamkan terdapat beberapa penerima anugerah telah pun mendapat peluang pekerjaan di Singapura.

"Ini satu petanda bahawa graduan kita diterima bukan saja di negara kita, tapi di luar negara juga," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berasa gembira berikutan YNS masih mampu memberikan insentif dan jumlah penerima juga semakin bertambah saban tahun.

"Kita minta semua pihak beri sokongan kepada yayasan agar mampu laksanakan tanggungjawab dengan baik," katanya.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato’ Dr Razali Ab Malik; Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, YB Tuan Mohd Khidir Majid dan Pengarah YNS, YB Dato' Haji Mat Ghazali Abd Rakim.