SWM SEDIA 108 LORI SEMPENA TAHUN BARU CINA

Khamis, 23 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

SEREMBAN: SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menyediakan 108 jentera lori kompaktor bersama 1,008 anggota yang akan bertugas pada hari pertama cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Pengurus SWM Environment Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, Dr Al’Ashari Othman berkata, persiapan itu penting bagi memastikan kutipan sisa pepejal berjalan lancar dan persekitaran bersih.

"Kita (akan) pastikan 55 lori terbuka atau lori Roll On Roll Off (RoRo) berada dalam keadaan baik untuk buat kutipan sampah bagi tong komunal yang ditempatkan di lokasi ditetapkan. Ini untuk mudahkan orang ramai melupuskan sisa pepejal,” katanya.

Menurut Al’Ashari, strategi itu dirancang dengan teratur setiap tahun supaya penambahbaikan sentiasa dilakukan bagi memastikan perkhidmatan mereka berada di tahap optimum dan produktiviti maksimum.

Tambahnya, seramai 255 anggota akan bekerja dengan kekuatan aset berjumlah 12 lori kompaktor dan tujuh lori RoRo akan ditempatkan di lokasi mengikut jadual ditetapkan pada hari kedua perayaan.

"Selain itu, kita juga turut beri tumpuan di 29 lokasi rumah pangsa yang ada penduduk kaum Cina ramai, bagi memastikan sampah diurus dengan baik," katanya.

Mengulas lanjut, Al'Ashari berkata, SWM Environment juga akan memastikan kawasan tumpuan pelancong di bawah perkhidmatan mereka seperti pantai Port Dickson dan taman rekreasi di Negeri Sembilan, mempunyai anggota bertugas dan aset jentera sokongan memandangkan cuti perayaan jatuh pada hujung minggu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa membuat tinjauan di Kampung Baru Mambau, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong; Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambau, YB Yap Yew Weng.