NEGERI SEMBILAN FOKUS PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Rabu, 23 Januari 2019 

1/1

SEREMBAN: Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan terhadap hal ehwal kemajuan luar bandar menerusi Pelan Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan 2019 - 2040.

 

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, perancangan itu bakal melibatkan lima daerah iaitu Rembau, Tampin, Jempol, Jelebu dan Kuala Pilah.

   

Menurutnya, pelan berkenaan akan memberi impak terhadap kira-kira 32 peratus penduduk negeri ini yang menetap di luar bandar. 

"Jadi kita minta semua exco yang terlibat untuk beri input dan pandangan, sebelum kita muktamadkan perancangan ini.
 

"Kita harap, (pembangunan) Negeri Sembilan tak hanya tertumpu pada kawasan MVV (Malaysia Vision Valley). 

"Tapi kawasan luar bandar pun (seharusnya) dapat dibangunkan dengan perancangan yang tepat," katanya.

Pada masa sama, kata Aminuddin, langkah sebegitu dapat meningkatkan pendapatan masyarakat di kawasan berkenaan.

"Insya-Allah, kita akan muktamadkan perancangan ini dalam kadar segera. Pengumumannya dijangka pada pertengahan atau hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini.