PROTOKOL BAHARU MEMUDAHKAN PENGEKSPORTAN DURIAN

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib         Ahad, 23 Disember 2018 

GEMAS: Proses pengeksportan durian ke China kini lebih mudah menerusi protokol baharu yang disepakati antara Malaysia dan negara berkenaan.

 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Haji Salahuddin Ayub berkata, protokol itu telah ditandatangani antara kedua-dua kerajaan pada Ogos lalu.

 

Melalui protokol tersebut, kata beliau, Malaysia dibenarkan untuk mengeksport sebiji durian secara keseluruhan. 

 

"Pertama sekali (impaknya), kita dapat memudahcarakan pengeksportan durian ke Tanah Besar China. 

 

"Dengan protokol baru ini, sebiji durian yang dibekukan dapat dihantar dengan lebih cepat dan efektif.

"Kita juga dapat tingkatkan dari segi mutunya. Apabila dibuka (durian) nanti di Tanah Besar China, rasanya (kekal) sama seperti yang asal," katanya.

 

Berbeza dengan kaedah sebelum ini, kata Salahuddin, durian perlu dikopek terlebih dahulu dan hanya isi atau bentuk pes yang boleh dihantar ke negara berkenaan. 

 

"Walau bagaimanapun, kita mesti patuhi semua aspek dalam biosekuriti. Ini pesanan saya kepada pemain industri (durian).

 

"Sebagai contoh, buah durian itu tak boleh jatuh atas tanah. (Sebaliknya) kena letak jaring atau pun diikat.

 

"(Kemudian) kita tak boleh guna racun serangga yang melepasi tahap diizinkan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Karnival MegaAgro Parlimen Tampin @ Gemas di Dataran Satria Gemas, di sini, hari ini.

 

Turut hadir adalah Exco Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Tuan Haji Bakri Sawir; Exco Belia dan Sukan negeri, Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani; Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom serta Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Puan Nicole Tan.

 

Dalam perkembangan lain, kata Salahuddin, pihaknya telah memberi satu panduan kepada Fama untuk menubuhkan sekurang-kurangnya satu hypermarket bagi memasarkan barangan pertanian dan produk hiliran mulai tahun depan.

 

"Saya serahkan (pelaksanaannya) pada Fama melalui Pengerusi yang baru dilantik. Terpulang pada mereka nak buat di mana, tapi objektifnya mesti tercapai seperti yang kita harapkan," katanya.

1/5