PERUNTUKAN PEMBANGUNAN ISLAM MENINGKAT SEHINGGA RM20 JUTA

Ahad, 22 September 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat & Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/5

KUALA PILAH: Peruntukan bagi pembangunan agama Islam di negeri ini dijangka bertambah sebanyak RM3 juta pada tahun depan, menjadikan jumlah keseluruhannya mencecah RM20 juta.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata sehubungan itu, perkara tersebut akan dimasukkan dalam Bajet Negeri Sembilan bagi tahun 2020 untuk dilaksanakan.

Menurutnya, langkah itu diambil berikutan Kerajaan Negeri amat komited dan memandang serius terhadap setiap usaha untuk memperkasakan institusi Islam di Negeri Sembilan.

"Dengan peruntukan besar ini, kita harap akan menyumbang kepada pengukuhan dan pembangunan umat Islam di negeri ini," katanya.

Tegasnya, menjadi satu amanah buat Kerajaan Negeri untuk menyantuni 615,000 komuniti Muslim di Negeri Sembilan dengan menyuburkan kefahaman Islam secara bersungguh-sungguh.

"Beberapa tahun kebelakangan ini, kita berdepan dengan cabaran perpaduan terutama dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

"Ada berkisar tentang perselisihan politik; prejudis dan prasangka. Apa saja isu yang berlaku, cuba diseret kepada perdebatan. (Ini) tiada keuntungan kepada umat Islam.

"Bertitik tolak daripada keperluan itu, maka (digembleng) usaha mengumpul dan menyatukan umat Islam melalui masjid. Aktivitinya perlu dilaksanakan secara lebih tersusun di semua peringkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Mesra Rakyat anjuran Masjid Tunku Aliff Hussein Saifuddin Al-Amin di Batu Kikir, di sini, semalam.

Untuk rekod ketika ini, terdapat 297 masjid dan 42 surau yang boleh mendirikan solat Jumaat di Negeri Sembilan.