STADIUM TUANKU ABDUL RAHMAN, PAROI DISAHKAN SELAMAT

Ahad, 22 September 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat & Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh & Nurul Haryani Hasrol

1/1

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan bahawa Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, selamat untuk digunakan bagi sebarang penganjuran program dan kejohanan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, keputusan itu berdasarkan pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Sebenarnya setiap tahun kita buat semakan (yang dilaksanakan) oleh JKR dan bomba. Kedua-dua jabatan dah mengesahkan bahawa stadium ini dalam keadaan selamat," katanya.

Sehubungan itu katanya, rujukan juga akan dibuat dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) selaku pihak yang bertanggungjawab menguruskan stadium berkenaan.

"Cuma kita akan lihat, di mana fail (laporan bertulis) tersebut. (Sebab) untuk kita lihat semula kelulusan CCC (Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan) itu.

"Kita nak semak dengan Majlis (Perbandaran Seremban). Mungkin ada dengan pihak Majlis (Perbandaran Seremban)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini, tempoh hari.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato' Dr Razali Ab Malik serta beberapa Exco Kerajaan Negeri Sembilan iaitu YB Tuan Teo Kok Seong; YB Tuan J Arul Kumar; YB Puan Nicole Tan Lee Koon dan YB Tuan S Veerapan.

Akhbar tempatan melaporkan sebelum ini, Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi didakwa tergolong antara 13 stadium utama di Malaysia yang tidak mempunyai CCC dan CF.

Stadium berkenaan yang mengambil nama sempena Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad telah dibuka pada tahun 1992 dengan kapasiti 20,000 penonton.

Bagaimanapun pada tahun 2004, kapasiti stadium itu telah ditingkatkan kepada 45,000 penonton sempena penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-10.