INDUSTRI CENDAWAN ERYNGII BANTU JANA EKONOMI NEGARA DAN NEGERI

Sabtu       22 September 2018       

22 sep 1-1.jpg
22 sep 1-2.jpg
22 sep 1-3.jpg
22 sep 1-4.jpg
22 sep 1-5.jpg

GEMAS: Kerajaan negeri yakin industri cendawan Eryngii keluaran tempatan mampu menyumbang kepada peningkatan pendapatan negeri dan negara pada masa depan, walaupun ianya satu industri yang baharu diterokai.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, ini kerana cendawan dikategorikan antara komoditi yang bernilai tinggi di Malaysia dan dianggarkan mampu menyumbang sebanyak RM300 juta kepada pendapatan negara menjelang tahun 2020.

Selain itu katanya, pasaran cendawan global juga dijangka akan terus berkembang pesat pada masa hadapan, sekali gus memberi ruang kepada pengusaha tempatan menceburi industri berkenaan.

"Saya memuji usaha syarikat HeveaGro atas usaha menghasilkan cendawan Eryngii yang pertama di Malaysia.


“Sebelum ini kita mengimport cendawan Eryngii dari Korea

dan China tetapi sekarang kita mampu menghasilkan cendawan seperti ini di Malaysia dan boleh membekalkannya di pasaran tempatan.

"Usaha ini bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan ekonomi negara tetapi juga sosio-ekonomi Negeri Sembilan terutama peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan khususnya di Gemas dan Tampin, " katanya selepas merasmikan tapak kilang HeveaGro, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga Dan Kebajikan negeri, Puan Nicole Tan Lee Koon dan Pengasas HeveaBoard Berhad, Tenson Yoong serta Pengarah Urusannya, Yoong Hau Chun.

Aminuddin berharap lebih banyak lagi kilang berasaskan produk pertanian dapat diwujudkan di negeri ini supaya Negeri Sembilan mampu menjadi pembekal utama makanan bagi Lembah Klang.

Beliau berkata, kerajaan negeri berusaha menarik lebih ramai pelabur luar untuk melaksanakan projek itu.

"Kita akan menyediakan tapak yang sesuai dan sedang mencari pelabur yang benar-benar mampu melaksanakan projek berasaskan pertanian berimpak tinggi bagi melonjakkan lagi ekonomi negeri," katanya.