ANGKARA CINCIN TITANIUM ATAS TALIAN

Khamis, 22 Oktober 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib @ Kero
Foto: Ihsan JBPM Negeri Sembilan

1/3

SEREMBAN: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun berdepan detik cemas apabila cincin titanium yang dipakai, tidak dapat ditanggalkan sehingga menyebabkan jarinya membengkak.

Situasi itu telah memaksa ibunya membawa remaja terbabit ke Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, di sini, sekitar jam 10 malam tadi, untuk mendapatkan bantuan.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh si ibu, kata Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) Mohd Syazwan Saidy, difahamkan bahawa tiga cincin itu dibeli secara atas talian.

Bagaimanapun selepas mencuba satu-persatu cincin titanium berkenaan, jari remaja itu mula membengkak berikutan tidak boleh ditanggalkan.

"Anggota bomba bersama Unit EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban ambil masa setengah jam untuk potong cincin tersebut guna peralatan khas.

"Kita turut membuat prarawatan awal kepada remaja berkenaan di lokasi," katanya dalam satu kenyataan, di sini.