CADANG ANJUR SUKAN RAKYAT, GALAK AKTIF SUKAN

Selasa, 22 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/4

NILAI: Kerajaan Negeri Sembilan bakal menganjurkan pertandingan sukan rakyat sebagai usaha menggalakkan rakyat bergiat aktif dalam sukan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, acara itu bakal berlangsung hujung tahun ini dengan mempertandingkan acara Bola Sepak Sawah; Pertandingan Mengoca dan Pertandingan Tiang Licin.

"Insya-Allah, Kerajaan Negeri bakal mengadakan sukan rakyat, yang kita rasa akan dapat sokongan daripada rakyat Negeri Sembilan dan ini akan diadakan pada bulan Disember.

"Saya (ingin) jemput semua pasukan bola sepak sama ada profesional atau amatur untuk bermain (bola sepak) di sawah dan (hadiah bagi) tempat pertama adalah RM10,000.

"Kita juga ada (pertandingan) mengoca dan tiang licin. Pertandingan ini diadakan di Kuala Pilah. Jadi bukan saja penduduk Negeri Sembilan, tapi dari negeri lain (juga) dijemput untuk sama-sama meriahkan pertandingan ini," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, lebih 178,000 ribu orang menyertai sambutan Bulan Sukan Negara di Negeri Sembilan sejak dilancarkan awal bulan ini.

Menurutnya, angka berkenaan melepasi sasaran 15 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhan Negeri Sembilan yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

"Kita harap sambutan (Bulan Sukan Negara) ini disambut sepanjang tahun untuk pastikan rakyat Negeri Sembilan sentiasa sihat; dapat kurangkan jumlah orang yang hidap penyakit dan supaya semua orang di negeri ini sihat walafiat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Negeri Sembilan 2019 di Velodrom National Malaysia, di sini, tempoh hari.