BILANGAN GRADUAN KELAS PERTAMA MENINGKAT

Isnin         22 Oktober 2018          

22 oct 2-1.jpg

SEREMBAN: Jumlah graduan kelahiran Negeri Sembilan yang memperoleh Ijazah Kelas Pertama dari universiti tempatan dan luar negara terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, beliau gembira dan bangga dengan peningkatan pencapaian graduan anak negeri ini dalam pelbagai bidang pendidikan.

"Saya melahirkan rasa syukur kerana prestasi kalangan anak-anak Negeri Sembilan dalam bidang pendidikan di institusi pengajian tinggi setiap tahun semakin cemerlang.

"Adalah menjadi harapan kita agar mereka dapat memanfaatkan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran itu untuk membantu memajukan masyarakat dan negara.

"Menerusi kejayaan cemerlang itu juga, saya amat mengharapkan agar mereka dapat menjadi warganegara yang dapat membantu meningkatkan pencapaian ekonomi masyarakat dan membawa negara ke tahap lebih cemerlang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama 2018 di Klana Resort di sini, petang tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik.

Seramai 147 siswazah menerima imbuhan sebanyak RM5,000.

Aminuddin berharap graduan yang mencatat keputusan baik di universiti perlu meneruskan budaya kecemerlangan dalam apa juga bidang yang diceburi serta di alam pekerjaan.

Sementara itu, beliau mengakui lega kerana pemilihan kepemimpinan parti PKR negeri itu pada Sabtu lalu berjalan lancar.

"Walaupun ada sedikit masalah yang berlaku di Jelebu, tapi keseluruhannya ia berjalan dengan baik," katanya.