TIGA MAUT DIREMPUH MYVI

Sabtu, 22 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad

Foto: Ihsan IPD Seremban
 

1/3

SEREMBAN: Tiga orang maut dalam satu kemalangan di Jalan Mambau - Port Dickson berhadapan Surau Al-Muqarrabin, Kampung Mambau, di sini, jam 6 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada sebuah kereta Perodua Myvi.

Menurutnya, kenderaan dipandu lelaki India berusia 61 tahun itu telah masuk ke laluan bertentangan lantas merempuh sebuah motosikal jenis Demak.

"Motosikal ditunggangi lelaki India berusia 44 tahun, bersama pembonceng wanita India berusia 38 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari Taman Kelab Tuanku menuju ke Hospital Seremban untuk bekerja.
 

 
 

"Selepas pelanggaran tersebut, kereta Myvi berkenaan telah berpusing lalu melanggar seorang pejalan kaki iaitu wanita Melayu berumur 42 tahun.

"Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja'afar Seremban bagi tujuan bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan, di sini, petang tadi.

Sementara itu katanya, pemandu Myvi terbabit telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seremban untuk ujian saringan air kencing dan ujian alkohol.

Walau bagaimanapun tambahnya, hasil siasatan lanjut menerusi rakaman CCTV di lokasi kemalangan mendapati pemandu kereta berkenaan tidak kelihatan seperti lelaki India berumur 61 tahun. 

"Selepas disoal siasat, lelaki India berusia 61 tahun itu membuat pengakuan bahawa pemandu sebenar adalah anak lelakinya yang berusia 27 tahun.

"Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan Risikan dan Operasi Trafik IPD Seremban telah ke lokasi dan menahan suspek iaitu pemandu sebenar pada masa kejadian. 

"Suspek telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seremban untuk ujian saringan air kencing dan alkohol. Hasilnya didapati negatif. 

"Suspek akan direman untuk tujuan siasatan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 419 Kanun Keseksaan," katanya.