DUA DITAHAN MEMANDU BAWAH PENGARUH ALKOHOL

Sabtu, 22 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad

Foto: Ihsan IPD Seremban
 

1/2

SEREMBAN: Dua lelaki ditahan kerana memandu bawah pengaruh alkohol dalam operasi Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah di sekitar daerah ini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pemandu berusia 31 dan 28 tahun itu merupakan antara beberapa pengguna jalan raya yang diperiksa dalam operasi bermula jam 11 malam.

"Berdasarkan ujian menggunakan alat SD2+ yang dilakukan ke atas kedua-dua pemandu terbabit, didapati kandungan alkohol dalam badan mereka tinggi.

 
 

"Kedua-duanya kemudian dibawa ke Balai Trafik IPD Seremban untuk jalani ujian pernafasan menggunakan alat EBA-II. Hasil menunjukkan, kandungan alkohol dalam darah mereka melebihi had ditetapkan. 

"Ini sekali gus membuktikan, masih terdapat pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi itu bertujuan untuk membanteras dan mencegah pengguna jalan raya yang memandu bawah pengaruh alkohol sehingga boleh membahayakan keselamatan orang lain.

"Kedua-dua lelaki terbabit ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis Seremban akan terus melaksanakan operasi ini, terutama kepada semua pengguna jalan raya di sekitar Daerah Seremban," katanya.