ASPEK PERUNDANGAN DIPERHALUSI MENJELANG PENGGABUNGAN MPS, MPN

Khamis, 22 Ogos 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Jurufoto: Nabilsyafiq MH & Muhammad Faiz Limat

Juruvideo: Nurul Haryani Hasrol & Muhamad Syawal Saleh

1/4

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan meneliti dan memperhalusi aspek peraturan serta undang-undang kecil membabitkan penggabungan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada proses yang perlu dilaksanakan menjelang penaiktarafan daerah Seremban sebagai bandar raya pada awal tahun depan. 

Menurutnya, persiapan dari segi perundangan yang bakal berlaku ketika penggabungan, perlu diberi perhatian memandangkan julung kali melibatkan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) berbeza sebagai satu entiti.

"Sebelum ini (di negeri lain), semua majlis bandar raya adalah (terdiri) daripada (sebuah) majlis (perbandaran) tempatan yang terus dinaik taraf kepada bandar raya.

"Tapi ini kali pertama dalam sejarah negara kita, dua buah majlis perbandaran digabungkan untuk menjadi sebuah majlis bandar raya," katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak Kerajaan Negeri Sembilan meneliti dari sudut implikasi perundangan dan peraturan kerana proses berkenaan turut melibatkan status ahli majlis bandar raya yang bakal dibentuk.

"Di samping itu, penggabungan ini juga melibatkan pegawai daripada kedua-dua majlis perbandaran. 
 

"Jadi kita minta Kerajaan Negeri untuk lihat kesesuaian jawatan-jawatan (dalam majlis bandar raya) tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama pada sidang media itu adalah beberapa Exco Kerajaan Negeri iaitu YB Tuan Teo Kok Seong; YB Tuan J Arul Kumar; YB Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani dan YB Tuan Choo Ken Hwa.