SARAN TVET DIMULAKAN DI SEKOLAH RENDAH

Khamis, 22 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/3

SEREMBAN: Majlis Guru Besar Negeri Sembilan (MBGNS) disarankan membuat kajian agar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dapat dimulakan di peringkat sekolah rendah.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, MBGNS perlu memanfaatkan segala peluang untuk menghasilkan natijah yang boleh menjadi garis panduan bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan.

Menurutnya, ini sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang cukup komited agar kualiti pendidikan yang ada seiring dengan keperluan dunia pada masa akan datang.

"KPM wujudkan Pendidikan STEM dengan gabungkan Sains; Teknologi; Kejuruteraan dan Matematik dalam proses PdP (pengajaran dan pembelajaran) sebagai persediaan anak-anak kita hadapi cabaran pada masa depan.

"Sehubungan itu, mereka (guru besar) juga kena peka dengan dasar transformasi yang diilhamkan oleh kepimpinan negara seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"Kita harap pengurusan; pentadbiran dan perkara yang melibatkan guru besar dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa, di samping mendapat maklumat terkini tentang pentadbiran (kerajaan)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Profesionalisme Bersama Guru Besar Sekolah Rendah Negeri Sembilan Darul Khusus di Wisma Negeri, di sini, tempoh hari.

Turut hadir adalah Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, YB Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Seramai 350 guru besar daripada SK, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) hadir pada program berkenaan.

Majlis Pelancaran Koperasi Guru Besar Negeri Sembilan turut diadakan setelah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sembilan dan dijangka mula beroperasi hujung Ogos ini.