KERAJAAN NEGERI SEMBILAN RAFAK SEMBAH TAKZIAH

Rabu, 22 Mei 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Live Video: Mohd Zamzuri Daud
Foto: Nabilsyafiq MH

1/2

SEREMBAN : Kerajaan Negeri Sembilan dan seluruh rakyat Negeri Sembilan merafak sembah ucapan takziah kepada Kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, pagi tadi.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, kemangkatan baginda merupakan satu kehilangan yang amat besar bukan hanya kepada negeri Pahang, tetapi bagi seluruh rakyat Malaysia kerana perginya seorang raja berjiwa rakyat.

"Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah banyak berjasa serta memainkan peranan besar dalam pelbagai lembaran sejarah negara sepanjang tempoh pemerintahannya sebagai Sultan Pahang dan juga selaku Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-7.

"Kerajaan Negeri Sembilan dan seluruh rakyat Negeri Sembilan mendoakan semoga roh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para aulia, syuhada serta orang beriman yang dikasihi-NYA," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, 88, yang memerintah Pahang selama 45 tahun itu mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 8.50 pagi tadi.

Jenazah Almarhum baginda akan dimakamkan di Makam Diraja di Pekan, Pahang selepas solat Zohor esok.