KERAJAAN NEGERI PERTIMBANG IJAZAH SARJANA MUDA ITQAN
Sabtu, 22 Jun 2019
Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Live Video: Nurul Haryani Hasrol & Mohd Zamzuri Daud
Foto: Nabilsyafiq MH
TAMPIN: Kerajaan Negeri Sembilan mempunyai perancangan untuk menawarkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN), Gemencheh, di sini.
Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, usaha itu sebagai langkah susulan daripada pengajian peringkat diploma sepenuhnya yang ditawarkan sejak tahun lalu selepas mendapat pengiktirafan MTAQ.
"Kita baru saja dapat pengiktirafan tersebut. Insya-Allah pada masa depan, kita akan susun strategi untuk pastikan perkara berkenaan (pengajian peringkat ijazah) jadi kenyataan.
"Insya-Allah (perkara ini) ada step (proses) dia. Itu yang kita cuba pada masa akan datang," katanya pada sidang media selepas Istiadat Konvokesyen Khatam Hafaz Al-Quran dan Hari Anugerah Kecemerlangan Kali Ke-10 ITQAN, di sini, hari ini.
Turut hadir adalah Ahli Parlimen Tampin, YB Dato' Dr Hasan Bahrom dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Tuan Haji Mohd Zaidi Ramli.