USAHAWAN NEGERI SEMBILAN LEBAR SAYAP DI SINGAPURA

Isnin, 22 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/4

SEREMBAN: Empat usahawan Negeri Sembilan akan menyertai Malaysia Fest 2019 bermula Khamis ini di Changi, Singapura.

Usahawan tersebut adalah Natture Herbs Industries & Marketing; Rich Timur Enterprise; Hajjah Aminah Food Industries Sdn Bhd dan Olley Food Industries.

Produk yang akan diketengahkan seperti teh dan kopi berasaskan buah harra atau belimbing buluh; kacang salut; nasi briyani dan produk berasaskan roselle serta sarang burung walit.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, penglibatan usahawan ke pameran tersebut julung kali dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi mempromosikan produk tempatan. 

"Kita harap banyak lagi usahawan di Negeri Sembilan boleh diketengahkan dan mendatangkan satu impak ekonomi kepada Kerajaan Negeri.

"Pada masa sama, dapat melahirkan lebih ramai usahawan yang baru dalam projek berasaskan industri makanan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Flag Off Produk Negeri Sembilan ke Malaysia Fest 2019 ke Singapura di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Sembilan (UPEN) dapat memastikan produk negeri ini adalah yang terbaik.

Selain itu katanya, pembungkusan produk dan pemasaran perlu dibuat dengan rapi serta menetapkan harga yang berpatutan.

Turut hadir adalah Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, YB Dr Mohamad Rafie Ab Malek serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato' Dr Razali Ab Malik.