MASYARAKAT FELDA TIDAK AKAN DIPINGGIRKAN

Oleh: Mohd Amin Jalil         Sabtu, 22 Disember 2018 

JEMPOL: Masyarakat peneroka FELDA di Negeri Sembilan akan terus diberikan perhatian sepertimana di penempatan lain dalam merancang dan memajukan negeri ini.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri bersikap adil terhadap rakyat dan mahu memastikan kemajuan negeri dapat dinikmati dan dirasai secara keseluruhan tanpa mengira kaum.

"Kita sedar warga FELDA khususnya adalah sebahagian daripada kita (Pakatan Harapan) walaupun PH tidak menang di kawasan FELDA pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Kerajaan negeri akan membangunkan negeri ini secara menyeluruh termasuk di kawasan FELDA dan luar bandar.

"Kita berhasrat menyediakan lebih banyak kemudahan dan meningkatkan pencapaian ekonomi serta taraf hidup masyarakat termasuk di kawasan FELDA di Jempol, Jelebu dan kawasan luar bandar yang lain kerana kita nak lihat perubahan berlaku dalam semua aspek pembangunan untuk keselesaan rakyat.

"Justeru, dakwaan bahawa kita (PH) meminggirkan orang FELDA adalah tidak benar dan ia tidak akan berlaku pada bila-bila masa," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas Persekolahan Anak-Anak Peneroka FELDA di Sekolah Kebangsaan Serting Hilir 2, di sini, semalam.

Seramai 202 murid di kawasan penempatan terbabit menerima bantuan khas RM100.

Aminuddin berkata, kerajaan PH Negeri Sembilan akan terus komited untuk membantu semua golongan rakyat yang memerlukan bagi meringankan beban hidup.

Menurutnya, ini jelas terbukti menerusi peruntukan yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2019 Negeri Sembilan pada sidang Dewan Undangan Negeri, awal minggu ini.

Beliau berharap mendapat sokongan rakyat dan semua pihak dalam menjayakan setiap perancangan kerajaan untuk membangun dan memajukan negeri ini.

"Kita nak lihat perubahan menyeluruh berlaku di negeri kita ini dan ia sudah tentu memerlukan sokongan serta kerjasama padu semua rakyat.

"Doakan kita dapat terus membangun dan memajukan negeri ini ke tahap lebih maju pada masa depan dan dalam masa sama memastikan rakyat mendapat faedah serta menikmati keselesaan," katanya.

1/4