NAIK TARAF PENGKALAN KEMPAS

Isnin, 21 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/6

PORT DICKSON: Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas akan dinaik taraf bagi mengembalikan zaman kegemilangannya, untuk menarik pelancong ke Negeri Sembilan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, Pengkalan Kempas yang terkenal sebagai kawasan sejarah pada suatu ketika dahulu tampak semakin dilupakan oleh generasi masa kini.

Menurutnya, beberapa penambahbaikan akan dibuat sebelum hujung tahun ini termasuk menaik taraf Pusat Megalitik dan jeti Pengkalan Kempas, serta mewarnakan bangunan-bangunan lama.

"Pengkalan Kempas antara (kawasan) tertua di daerah Port Dickson selain dari Lukut. Tapi hari ini, nama itu semakin lama semakin hilang. Jadi kita nak pulihkan semula nama kawasan ini, (supaya) sentiasa orang tahu di mana letaknya Pengkalan Kempas.

"Program hari ini (19 Oktober) adalah untuk kembalikan semula nama Pengkalan Kempas di mata rakyat, sebagai satu kawasan pelancongan serta kawasan sejarah yang wajib mereka kunjungi.

"Jika mereka ingin lihat kawasan sejarah, kita ada. (Selain itu) mereka boleh memancing udang galah di Sungai Linggi, boleh tengok kelip-kelip di Sungai Timun dan buaya pun kita ada.

"Kita juga ada Batu Megalit (batu hidup) yang cukup istimewa dan Makam Sheikh Ahmad Majnun, bagi mereka yang minat sejarah Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Karnival Pengkalan Kempas, di sini, tempoh hari.