PRESTASI SK CHUAH MEMBANGGAKAN

Oleh: Mohd Amin Jalil          Rabu, 21 November 2018 

PORT DICKSON: Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun bangga dengan pencapaian Sekolah Kebangsaan (SK) Chuah yang berjaya melahirkan golongan cerdik pandai dan profesional.

Katanya, biarpun berstatus sekolah luar bandar, namun kejayaan dalam melahirkan golongan cerdik pandai telah meletakkan SK Chuah setanding dengan sekolah lain.

"Saya bangga dengan pencapaian SK Chuah yang dapat melahirkan individu kalangan golongan profesional dalam pelbagai bidang termasuk doktor, pensyarah dan pakar perubatan.


"Walaupun SK Chuah terletak dalam suatu kawasan yang dilihat terpencil, tetapi mampu memberikan saingan

terutama dari segi pencapaian akademik dengan sekolah lain.

"Malah dalam sukan bola sepak juga sekolah ini turut meraih pencapaian yang memberangsangkan," katanya ketika berucap pada majlis Hari Anugerah Kecemerlangan SK Chuah 2018, di sekolah itu, hari ini.

Hadir sama, isteri beliau, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof dan pemimpin setempat serta pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

Aminuddin mengakui mempunyai kenangan peribadi dan sejarah tersendiri terhadap SK Chuah kerana ramai rakan beliau yang pernah bersekolah di situ.

Beliau juga mengakui bahawa kejayaan murid SK Chuah dan prestasi baik sekolah itu merupakan hasil kerja keras serta komitmen tinggi guru, ibu bapa dan masyarakat DUN Chuah.

"Ini adalah suatu kemajuan yang wajar dicontohi kerana ia menyerlahkan persaingan yang sihat dalam kalangan murid dan menyerlahkan kesungguhan guru serta ibu bapa.

"Saya harap usaha ini dapat diteruskan agar SK Chuah terus berjaya melahirkan generasi muda yang berjaya bukan saja dalam bidang akademik tetapi juga sahsiah," katanya.

21 nov 5-1.jpg