PENGISYTIHARAN SEREMBAN SEBAGAI BANDAR RAYA PADA 2020

Oleh: Mohd Amin Jalil          Rabu, 21 November 2018 

SEREMBAN: Rancangan mengisytiharkan Seremban sebagai bandar raya dijangka akan dapat direalisasikan pada tahun 2020.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri perlu membuat persiapan lebih rapi dari pelbagai sudut sebelum mengisytiharkan Seremban sebagai bandar raya.

“Banyak perkara yang perlu diselesaikan, terutama membabitkan penyediaan kemudahan awam, isu perumahan dan pejabat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di kediaman rasminya, di sini, hari ini.


Dalam laporan sebelum ini, kerajaan negeri bercadang untuk melaksanakan pengisytiharan itu pada pertengahan

tahun depan berikutan kelewatan kontraktor menyiapkan pengubahsuaian bangunan Majlis Bandar Raya Seremban (MBS).

"Kita perlu membuat persiapan lebih rapi dan sempurna sebelum pengisytiharan itu," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Majlis Daerah Jempol (MDJ) akan dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Jempol pada 29 Januari 2019.

Beliau berkata, pelantikan Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol dan Pegawai Daerah Jempol akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

“Kita akan jadikan pengisytiharan ini sebagai satu acara dalam sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ke-71.

"Pelbagai aktiviti akan diadakan sempena naik taraf majlis daerah itu antaranya bacaan Yassin, pertandingan memancing, larian dan banyak lagi,” katanya.

21 nov 4-1.jpg