SYARAT TAMBAHAN BAGI PENGAMBILALIHAN PPM TIDAK DAPAT DIPENUHI

Oleh: Mohd Amin Jalil          Rabu, 21 November 2018 

SEREMBAN: Cadangan kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI) untuk mengambil alih Pusat Perubatan Mawar (PPM) dan Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) terpaksa dibatalkan, berikutan syarat tambahan yang disifatkan tidak munasabah dan di luar kemampuan kerajaan.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, walaupun pada peringkat awal kerajaan bersetuju untuk mengambil alih tetapi disebabkan syarat tambahan yang ditetapkan pengurusan PPM, maka ia terpaksa dibatalkan.

"Syarat yang dikenakan PPM tidak munasabah dan di luar kemampuan kerajaan negeri (MBI), malah kita khuatir ia tidak mampu dipenuhi kerana pengambilalihan itu membabitkan wang rakyat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO

di kediaman rasminya, di sini, hari ini.

Dalam laporan sebelum ini, Aminuddin menjelaskan mengenai cadangan MBI untuk mengambil alih PPM dan PHM sebagai sebuah hospital rakyat milik penuh kerajaan negeri, yang bukan bermatlamatkan keuntungan semata-mata, sebaliknya sebagai pusat perubatan rakyat.

Menteri Besar berkata, setakat ini tiada lagi tawaran dan rundingan baharu dengan pihak PPM, malah premis itu kini di bawah Kementerian Kesihatan selepas pihak berkenaan mengarahkan pemberhentian operasi ekoran peletakan jawatan hampir semua pakar perubatannya berkuat kuasa 1 November lalu.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin menjelaskan bahawa beberapa berita baik khusus untuk kakitangan awam dan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) bakal diumumkan dalam Belanjawan Kerajaan Negeri 2019, yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) bermula 17 hingga 19 Disember depan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bonus untuk kakitangan awam negeri akan turut diumumkan.

“Belanjawan 2019 adalah belanjawan yang menarik dan kita akan umumkan banyak berita baik untuk penjawat awam dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

21 nov 3-1.jpg