SEDIA LEPASKAN JAWATAN PRESIDEN SIGC

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Khamis, 21 Mac 2019 

1/5

SEREMBAN: "Saya tak ada masalah untuk lepaskan jawatan Presiden SIGC (Kelab Golf Antarabangsa Seremban), kalau jawatankuasa nak jual semula (arak).

"Selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam, saya tak boleh berada di situ," tegas Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.

Demikian respons beliau sekiranya jawatankuasa SIGC memutuskan untuk membenarkan kembali jualan bir di premis terbabit, melalui mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang bakal diadakan pada Ahad ini.

Pada masa sama, Aminuddin turut menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya beliau terlibat dalam penetapan larangan berkenaan.

"Saya keluar daripada mesyuarat, setiap kali isu arak (dibincangkan). Saya serahkan kepada jawatankuasa untuk buat keputusan.

"Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri pun keluar sama. Kita tak hadir dan tak ganggu pun keputusan jawatankuasa yang memang (dalam kalangan) ahli berbayar," katanya.

Sebaliknya kata Aminuddin, sebelum ini beliau sekadar memberi cadangan kepada jawatankuasa SIGC agar tidak menjual minuman keras di kelab golf tersebut.

"Saya cuma beri pandangan awal, kerana kelab itu berhampiran kampung Melayu. (Kawasan) sekeliling semua, orang Melayu yang tinggal.

"Kemudian berhampiran sebuah masjid, iaitu Masjid Kariah Paroi Jaya. Jadi itulah rasionalnya, terpulanglah.

"Saya pun tak (terlibat) buat keputusan pada (mesyuarat) malam itu. Tapi bila saya masuk balik, mereka (jawatankuasa) kata tak payah jual.

"Selepas itu mesyuarat sekali lagi, saya dan Dr Razali keluar (masa bincang isu arak). Keputusannya (masih) sama juga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Interaksi Pemimpin Bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Sembilan di Royale Chulan, di sini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Dr Razali Ab Malik dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan, Dato' Haji Zulkefly Mohamad Omar.

Sebuah portal berita online melaporkan sebelum ini, tindakan pengurusan SIGC melarang penjualan bir telah mengundang rasa tidak puas hati 44 ahlinya.

Menurut salah seorang ahli, larangan itu berkuat kuasa sejak Ogos tahun lalu iaitu selepas Aminuddin mengambil alih jawatan Presiden SIGC.