KPDNHEP CATAT NILAI RAMPASAN RM1.8 JUTA

Selasa, 21 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Foto: Facebook KPDNHEP-Negeri Sembilan

1/2

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan mencatatkan nilai rampasan mencecah RM1.8 juta sepanjang tahun lalu.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, YB S Veerapan berkata, nilai itu membabitkan 597 kes melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun dan denda berjumlah RM125,700.

"Pada tahun lalu, kita terima 649 aduan, tapi hanya 597 kes yang (telah) dikesan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM1.8 juta.

"Sepanjang tempoh awal Januari ini pula, sebanyak 55 kes (berjaya) direkodkan dengan jumlah rampasan bernilai RM52,070 dan nilai kompaun RM9,350," katanya. 

Sementara itu, Veerapan berkata, sebanyak 15 jenis barangan dikenal pasti sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina bermula 20 Januari hingga 2 Februari depan.

Jelasnya, pernambahan barangan tersebut melibatkan cili merah; tomato dan ubi kentang import dari China manakala kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam; telur ayam; sayuran; barangan kering; hasil laut dan daging khinzir.

"Seramai 98 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan termasuk pegawai dari cawangan akan berada di semua lokasi tumpuan.

"Mereka akan buat pemeriksaan dan pemantauan sepanjang tempoh pelaksanaan skim tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media SHMMP Sempena Tahun Baru Cina 2020 di pasar raya NSK Seremban, di sini, semalam. 

Turut hadir adalah Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Puan Ain Arjuna Aziz.