MB: SAYA TAK KECIL HATI

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Khamis, 21 Februari 2019 

1/1

SEREMBAN:  "(Saya) tak ada masalah kecil hatilah... sebab itu hak RTM (sama ada) nak siarkan atau tak, mereka (lebih) tahu.

"Walaupun tak keluar secara langsung di RTM, tapi saya dimaklumkan ada keluar secara langsung di NegeriFM," ujar Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.

Demikian respons beliau ketika diminta mengulas berhubung tindakan stesen televisyen terbabit yang tidak menyiarkan ucapannya pada Ahad lalu.

Ketika itu, Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2019 Peringkat Kebangsaan di Dataran Centrio, Seremban 2, disiarkan secara langsung di kaca televisyen. 

Sehubungan itu, Aminuddin menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk membangkitkan isu berkenaan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

"Saya pun tak tahu sebenarnya, tak ada dikeluarkan (ucapan) secara langsung. Cuma bila dah selesai (majlis) itu, saya ada dengar orang kata kenapa tak keluar.

"Jadi itu bukan isunya. Tapi isunya bagi saya adalah program telah diatur. Mungkin memang tak ada ucapan secara langsung daripada saya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini. 

Tular di media sebelum ini, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan secara peribadi mempersoalkan tindakan RTM yang tidak menyiarkan ucapan Menterinya, YB Anthony Loke.

Selain Loke, katanya, stesen televisyen terbabit juga tidak menyiarkan ucapan Menteri Besar Negeri Sembilan pada program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu.