BANTUAN KHAS PERSEKOLAHAN RM100 DIAGIH SECEPAT MUNGKIN

Oleh: Mohd Amin Jalil         Jumaat, 21 Disember 2018 

JEMPOL: Semua 15,000 anak peneroka FELDA di Negeri Sembilan yang layak menerima Bantuan Khas Persekolahan RM100 akan menerima bayaran berkenaan selewat-lewatnya pada minggu pertama sesi persekolahan 2019.

Pembayaran bantuan berkenaan akan diuruskan oleh pihak sekolah menerusi pejabat FELDA di penempatan masing-masing.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, anak generasi kedua FELDA yang layak dan menetap di tanah rancangan itu juga akan dipertimbangkan.

“Kerajaan negeri prihatin dengan nasib peneroka FELDA yang belum menerima elaun sara hidup dan kita berharap bantuan ini dapat meringankan beban mereka terutama

dalam membuat persediaan bagi sesi persekolahan tidak lama lagi.

“Bayaran akan dibuat secara berperingkat, malah hari ini seramai 202 anak peneroka sudah menerimanya dan kita jangka pembayaran akan selesai pada minggu pertama persekolahan,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan persekolahan anak FELDA di Sekolah Kebangsaan Serting Hilir Dua di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru, Teo Kok Seong; Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Maznah Abu Bakar dan Timbalan Pengarah Besar FELDA, Anuar Malek.

Aminuddin berkata, pihaknya berharap golongan yang berkemampuan tidak mengambil kesempatan daripada bantuan berkenaan.

“Mereka yang mampu dan mempunyai pekerjaan tetap terutama yang sudah keluar dari tanah rancangan dan tinggal di bandar tidak layak menerima bantuan ini.

“Kita beri peluang kepada keluarga yang layak terutama mereka yang sedang bergelut dengan masalah bayaran sara hidup FELDA,.

"Kerajaan berharap bantuan ini dapat meringankan beban dan memastikan anak-anak dapat memulakan sesi persekolahan 2019, dalam keadaan cukup gembira dan bersemangat untuk maju jaya,” katanya.

Menteri Besar ketika menggulung Belanjawan 2019 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seremban, kelmarin, mengumumkan bantuan khas itu yang membabitkan peruntukan sebanyak RM2 juta.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Bandar Seri Jempol bakal menjadi destinasi yang menarik dan maju apabila beberapa kemudahan baharu akan diwujudkan di situ.

Katanya, Majlis Daerah Jempol akan dinaikkan taraf kepada perbandaran pada Januari depan dan bakal mempunyai beberapa kemudahan baharu antaranya Mahkamah Syariah dan pejabat Imigresen.

"Jempol akan terus membangunkan dan menjadi bandar lebih baik sekali gus akan memberi impak dari segi ekonomi dan pembangunan.

"Malah usaha menarik pelabur ke Jempol juga akan diberikan perhatian pada masa depan," katanya.

1/5