700 HADIR SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK, WARGA EMAS DAN OKU

Oleh: Mohd Amin Jalil         Jumaat, 21 Disember 2018 

SEREMBAN: Kira-kira 700 orang hadir dalam program Sambutan Hari Kanak-kanak, Warga Emas, Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat negeri di Klana Resort, semalam.

Program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bertujuan meraikan kumpulan sasar di bawah agensi berkenaan.

Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri komited untuk memastikan kepentingan golongan berkenaan terpelihara.

"Kita mahu warga emas di negeri ini sentiasa sihat dan mereka dapat memanfaatkan usia tua dengan baik.


"Kita juga mahu kanak-kanak membesar dalam

persekitaran yang sihat bagi melahirkan generasi masa depan yang berwibawa.

"Kerajaan menerusi JKM juga serius menangani permasalahan lain membabitkan kanak-kanak seperti penderaan dan kesalahan seksual. Hakikatnya negara mempunyai undang-undang yang melindungi mereka," katanya.

Hadir sama, Ahli EXCO, Nicole Tan Lee Koon dan Pengarah JKM negeri, Mohamad Hapil.

Sementara itu, Aminuddin berharap sektor korporat tidak meminggirkan golongan OKU untuk memberikan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.

"Syarikat swasta diharap dapat memberikan peluang kepada OKU dengan mempertimbangkan mereka untuk terbabit dalam membina kerjaya berdasarkan keupayaan," katanya.

1/5